Friday, February 16, 2018

Sehari Satu Cerita 8

Rancangan hari ni ? Pagi sampai petang duduk rumah saja. Kemas rumah, basuh kain, lipat baju dan memasak. Rutin biasa sebagai seorang suri rumah. Suri rumah untuk beberapa hari. Kalau tak nak basuh dengan lipat baju pun tunggu hari minggu.

Bila hari kerja, rasa penat sangat. Ni dapat cuti lama anak-anaklah yang paling seronok sebab boleh berkepit dengan ummi 24 jam. Bila ummi kerja selalu suruh ummi balik awal tapi ummi masih belum mampu. Tempat kerja ummi jauh. Ummi pula pergi kerja dengan abah. Abah balik kerja pukul 7. Jadi ummi nak tak nak kena sabar. Dah hampir 5 tahun dah ummi kerja di Plaza Permata. 2 3 tahun pertama ummi tidur di surau kalau sampai awal. 

Alhamdulillah sejak tahun 2015, bos ummi dah bagi duduk di pejabat sampai waktu balik. Jadi masa tu ummi luangkan waktu untuk buat bisnes online secara dropship. Alhamdulillah kadang-kadang ada masuk order. Modal tak banyak hanya mendaftar jadi ahli dan kemudian dah boleh buat promosi di fb, instagram, blog dan media sosial yang lain.

Daripada kosong tak pandai menulis dan buat marketing, alhamdulillah sekarang masih lagu belajar dan belajar. Lagi banyak kita belajar lagi banyak yang kita tak tahu. Rasa macam nak pergi kursus tapi banyak sangat halangan. InshaAllah jika diberi peluang nak pergi banyak lagi kursus untuk meningkatkan lagi ilmu di dada.

Perlahan-lahan belajar. Rezeki tidak pernah salah alamat orang kata. Selagi kita berusaha, inshaAllah pasti ada jalan. Teringat kawan Feni yang berjaya buka taman bimbingan kanak-kanak dengan apa yang ada. Alhamdulillah tumpang gembira.

Dia ada juga ajak untuk buat sama-sama, tapi Feni masih sayangkan kerja sekarang. Mungkin dalam 4 atau 5 tahun lagi baru nak fokus bisnes betul-betul. Sekarang ni fokus untuk online saja. Sebab online pun boleh hidup jugak. Hihi modal pun tak banyak dan risiko pun tak banyak. Modal banyak risiko pun banyak.

Mula-mula ni kumpul database customer dan buat follow-up. Untuk customer lama, pegang ketat-ketat. Marketing untuk customer baru. Seronok kalau buat betul-betul bisnes online ni. Dapat kenal kawan baru, dapat kawan baru dan idea pun berkembang. Jangan dengki dengan orang lain. InshaAllah rezeki kita Allah yang tentukan.

Kita hanya perlu berusaha dan bertawakal. Dalam mengejar impian banyak perkara yang kita akan lalui. Suka duka perjalanan menuju kejayaan itu sangat manis untuk dikenang. Jadilah insan yang baik untuk dikenali bukan dengan benda yang tak baik. 

Thursday, February 15, 2018

Sehari Satu Cerita 7

Lewat bersiaran hari ni. Banyak benda nak kena fikir. Sampai berserabut kepala dibuatnya. Orang tak tahu masalah kita. Biarlah sebesar besar masalah, ingat Allah lagi besar. Tiada masalah yang tak boleh diselesaikan. Sabarlah dan berdoa agar diberikan jalan. InshaAllah kekusutan akan dileraikan.

Membuat keputusan ketika marah, banyak sangat buruknya. Bukan sahaja untuk diri sendiri malah untuk orang lain juga. Tarik nafas dalam-dalam dan lepaskan. Walaupun ada benda yang kita tak bersetuju tapi bila Allah uji kita dengan cara itu mesti ada hikmah disebaliknya. Berlapang dada.

Apa aktiviti kami anak beranak hari ini ? Duduk rumah main dan kemas rumah macam biasa. Baju banyak yang belum di lipat. Kain yang nak dibasuh masih sikit sebab semalam 2 kali ummi putar mesin basuh. Jadi hari ini agak ringan. Esok pula  cuci baju.

Semalam kami 3 beranak cuci garaj kereta. Alhamdulillah sudah bersih. Tengahari ummi masak cincai-cincai sahaja. Nasi dengan telur dadar dan juga ulam-ulaman. Hari ini, belum memikir lagi nak masak apa. Sardin ada satu tin dalam peti. Nak masak sardin selalu tak boleh sebab orang kata tak elok untuk kesihatan. Kadang-kadang teringin tu yang masak.

Ummi cuba buat makanan yang sihat untuk anak-anak. Bagi buah dan sayuran. Tapi sekarang ni bila makan buah, batuk pula jadinya. Ni musim-musim raya cina ni banyak dapat buah limau. Tak berani nak bagi anak-anak makan takut batuk. Ummi hari tu makan sebiji terus sakit perut. Esok pagi terus ulang alik ke tandas. Ngeri tapi rasa macam kempis je perut.

Bila dah berumur ni, kadar metabolisma badan semakin menurun. Kalau tak jaga betul-betul badan cepat naik dan susah nak turun. Ummi ni makan dahlah tak boleh tinggal nasi. Sehari tak makan nasi boleh pengsan. Menggeletar tangan dan kaki. Kena juga makan nasi. Benda lain tak dapat takpe, asalkan jangan nasi. Sekarang ni pun tengah cuba untuk mengurangkan jumlah nasi. Makan dalam jumlah yang sikit. Lebihkan sayur dan juga buah-buahan. Masalahnya tak semua jenia sayur ummi boleh makan. Buah tu inshalAllah boleh telan.

Ummi suka makan nasi dengan ulam sebab boleh cicah budu. Ada budu makan selera. Hehe maklumlah "oghe Kelate" mana boleh tinggalkan budaya asal. Cakap pun bau budu. Ada mak kisah ?


Wednesday, February 14, 2018

Sehari Satu Cerita 6

Bila perasaan malas menjelma. Malas betul nak buat. Rasa nak bermalas-malasan saja. Nak duduk saja tanpa buat apa-apa. Mengenangkan ada anak-anak yang perlu diisi perutnya. Kena kuatkan semangat.

Hari ni, ummi dan abang cuti. Jadi kami anak beranak lepak di rumah saja. Pagi-pagi dah siapkan air teh untuk sarapan. Abah belikan kuih dan roti untuk hidangan pagi. Kenyang sudah kami anak beranak. Asal perut tak lapar alhamdulillah.

Untuk tengahari, ummi masak nasi dengan telur dadar dan celur sayur je. Anak-anak nak makan telur dadar dengan kicap. Ummi tanya cukup ke makan tu, alhamdulillah anak-anak tak kisah. Abang Aus makan paling banyak sebab dia memang suka telur dadar dengan kicap.

Teringat ummi masa kecil, makan nasi telur mata dengan kicap. Telur kuning cicah kicap, ya Allah sungguh nikmat. Membesar dalam keluarga yang serba kekurangan menyebabkan kami adik beradik sentiasa bersyukur dengan nikmat yang Allah bagi. Dulu kalau dapat makan ayam tu, rasa macam nikmat sangat dah. Rasa macam orang kaya.

KFC masa dulu punya susah nak dapat. Kalau nak makan ayam KFC tunggu orang sembelih ayam, beli tepung goreng ayam adabi dan buat sendiri. Itulah ayam KFC kami yang paling sedap. Nak makan di luar jauh sekali.

Anak-anak sekarang, alhamdulillah hidup mereka lebih baik dan sangat beruntung. Nak makan senang. Abang Aus kalau rasa nak makan roti canai, terus ajak lepak mamak. Nak minum air jus pun boleh pergi kedai. Zaman kita dulu nak lepak mamak pun tak pandai.

Belanja makan sehari pun cukup-cukup untuk tambang pergi dan balik sekolah je. Kecil lagi dah pergi balik sekolah sendiri. Anak sekarang, ada bas atau van yang hantar dan ambil. Ummi dulu jalan kaki je. Dekat pukul 2 atau 3 baru sampai rumah. Jalan pulak ikut semak tapi alhamdulillah selamat. Zaman sekarang agak-agak berani tak bagi anak dara jalan ikut semak? Nauzubillahiminzalik.

Memikirkan zaman dulu dan sekarang memang jauh beza. Zaman ummi dulu mana ada telefon bimbit macam sekarang. Perubahan yang berlaku terlalu pantas. Abang Aus, 3 tahun dah ada tablet. Teknologi untuk pembangunan. Bila kawan-kawan ada, dia pun nak juga.

Tuesday, February 13, 2018

Sehari Satu Cerita 5

Meneruskan cabaran untuk menulis "Sehari Satu Cerita". Ini adalah artikel yang ke lima. Mencuba mencabar diri sendiri untuk terus menulis. Semalam seharian sibuk dengan urusan kerja dari pagi sampai ke petang. Penatnya hanya Mak Jemah yang tahu.

Mesyuarat semalam dihadiri oleh sahabat-sahabat dari pejabat Kota Bharu. Menaiki pesawat untuk ke sini. Dari lapangan terbang ke pejabat, mereka menaiki teksi. teksi pula tidak seselesa biasa sebab beratur ikut giliran dari lapangan terbang. Sampai di pejabat kami terus cakap pening kepala sebab teksi bawa dengan cara yang merbahaya. Bila sampai selekoh tidak memperlahankan kenderaan. Nasib baik masa balik dapat teksi yang sangat baik keadaannya.

Mereka tiba di pejabat ini dalam pukul 11.00 pagi. Masa tu Feni memang tengah sibuk dengan kertas kerja yang boss minta. Kejap-kejap tukar, lepas tu kena buat banyat set pula. Rasa tertekan sikit semalam tapi nasib baik tak lama. Dalam pukul 12.00 baru masuk bilik mesyuarat. Perbincangan bermula sampai pukul 4.30 petang. Itu pun sebab teksi Kak Phin dengan Kak Amy kena gerak ke lapangan terbang untuk balik kembali ke Kota Bharu.

Lepas mereka pulang barulah agak lega sikit sebab tak perlu masuk mesyuarat lagi. Perbincangan kali ini untuk mencari penyewa baru bagi projek kami. Feni teruskan dengan kerja-kerja pejabat yang tertanggung. Buat layout baru, simpan dan cetak.

Bila dah petang, semua orang akan pulang kecuali Feni sebab kena tunggu suami. Suami Feni habis kerja baru datang ambil Feni di pejabat. Pukul 7.15 baru Feni turun ke bawah sebab suami tunggu di Maybank. Kami naik lori sampai ke HKL. Sampai HKL terus balik rumah.

Sampai di rumah mertua sudah pukul 8 lebih. Tak sempat nak tengok cerita #KekasihPaksaRela episod terakhir. Sedih ! Tapi tak mengapa boleh tengok online di facebook. Abang Aus dengan Adik Rayyan nak ikut Opah, Angah dengan Paksu pergi klinik. Opah nak buat pemeriksaan biasa dan ambil ubat. Apa lagi, anak-anak lah yang paling suka sebab boleh berjalan. Ummi dengan abah tinggal di rumah. Menunggu anak-anak balik hampir pukul 10.30 malam. 10.30 malam baru balik rumah. Sangat-sangat penat semalam, main dengan anak-anak pun sekejap je.

Abang Aus sempat cerita mengaji dah sampai "hamzah". Alhamdulillah hari ini abang akan sambung sampai "ya". Jadi lepas ni abang akan terus membaca iqra secara membaca. Abang cakap seronok mengaji dekat rumah Nek Yam. 

Perjalanan hidup sebagai seorang isteri dan ibu memang mencabar. Kadang-kadang timbul juga rasa untuk berhenti kerja namun bila kita ubah mindset untuk membantu seisi keluarga, alhamdulillah Allah permudahkan segala urusan.

Penat, semua orang penat kerja. Duduk rumah saja pun penat juga sebab uruskan hal rumah tangga. Memasak dan mengemas rumah pun penat. Tidur pun boleh penat tapi kalau kita ubah minda kita ke arah yang lebih positif inshaAllah segalanya akan berjalan dengar lancar. Hidup ini bukan tentang kita sahaja. Kita perlu hargai orang sekeliling untuk hidup lebih bahagia.

Monday, February 12, 2018

Sehari Satu Cerita 4

Apa yang nak diceritakan hari ini ? Bermula rutin pagi seperti biasa sebagai seorang isteri dan ibu. Pagi-pagi siapkan diri sendiri, suami dan anak-anak untuk urusan harian. Seperti biasa pagi hantar anak-anak ke sekolah dan ke rumah opahnya.

Permintaan Adik Rayyan pagi ni nak makan roti "twiggies" jadi ummi belikan satu untuk dia. Bila ditanya habis ke adik makan ? Segera dijawabnya "habis'. Hehe bukan apa, semalam ummi kan duduk di rumah. Pagi semalam abah belikan twiggies dan kuih donut untuk sarapan. Makan twiggies tapi tak habis. Dicampaknya separuh twiggies tersebut ke dalam singki. Jadi di situ, ummi nampak adik tak makan habis.

Abang di sekolah dibekalkan sarapan pagi dan masa rehat pukul 10. Maklumlah sekolah tadika perpaduan memang disediakan makanan untuk anak-anak. Yuran pun tidaklah semahal tadika swasta. Alhamdulillah Abang Aus dapat sesuaikan diri dengan keadaan sekeliling. Tahun ni makin pandai dan makin ramai kawan.

Membaca pun dah boleh sikit, Kalau macam perkataan dua suku kata tu dia dah boleh baca sikit-sikit. Kena banyak latihan lagi supaya dia lebih lancar. Hujung tahun ni nak kena ambil peperiksaan untuk menentukan kedudukan dalam kelas bagi darjah satu nanti. Jadi lepas ni ummi kena usaha lebih kuat lagi untuk didik abang Aus tentang pelajaran.

Bab mengajar anak-anak ni memang kena banyak sabar. Kadang-kadang kena ikut mood mereka jugak. Bila datang angin taknak buat kerja sekolah, tidak nya mahu buat langsung. Ummi sebagai ibu kenalah banyak bersabar dan kena pandai pujuk. Cakap elok-elok dengan anak supaya mereka pun faham. Walaupun adakala hilang jugak sabar, cepat-cepat istigfar ingat Allah.

Menjadi isteri dan ibu kepada anak-anak adalah anugerah yang terindah dalam hidup. Banyak benda yang telah mengubah hidup ini daripada yang tidak baik kepada lebih baik. Kalau dulu hidup untuk diri sendiri tanpa memikirkan masalah orang lain. Sekarang ni alhamdulillah semakin hari semakin baik. Dengan kehadiran 2 cahaya mata yang sedang membesar menjadikan ummi seorang yang lebih kuat, tabah dan sabar dengan setiap dugaan.

Perjalanan hidup yang penuh dengan onak dan duri dilalui dengan penuh syukur. Setiap kesulitan itu pasti ada hikamh disebaliknya. Bila direnungkan dan bermuhasabah diri bahawa hidup hari ini lebih baik dari dulu. Jika dulu banyak yang kurang, alhamdulillah hari ini Allah sentiasa mencukupkan apa yang kurang. Alhamdulillah.

Dalam mengejar cita-cita banyak yang kita kena lalui. Kalah dalam perjalanan bukan bermakna kita akan kalah selamanya. Kekalahan itu mengajar kita untuk menerima kekurangan diri. Kita tidak akan selalu di atas dan tidak selalu di bawah. Beringat sentiasa. Dunia ini bulat dan sentiasa berputar macam roda. Kadang-kadang di atas dan kadang-kadang di bawah. Ingat pesan orang tua, buat baik berpada-pada dan buat jahat jangan sekali.

Berkawan pula, kena plilih kawan. Pengaruh kawan sekarang ni sangat kuat. Nabi pun pernah berpesan agar memilih kawan. Kalau kita berkawan denga penjual minyak wangi, kita pun akan berbau wangi dan sebaliknya. Alhamdulillah kawan-kawan Feni baik-baik saja. 

Cabaran sehari satu cerita berjaya untuk hari ini!



Sunday, February 11, 2018

Sehari Satu Cerita 3

Masak apa pagi ini ? Pagi-pagi anak-anak dah menjerit lapar. Jadi ummi buat nasi goreng dengan bahan-bahan yang ada. Kebetulan semalam masak nasi lebih dan banyak yang tak habis. Memang sesuai sangat buat nasi goreng.

Nasi goreng "bodo" orang kata. Janji perut kenyang dan tak lapar. Bahan-bahan bawang merah, bawang putih, cili dan isi ikan goreng. Hari ni ummi tak bubuh telur dalam nasi goreng. Semalam nasi goreng telur, hari ni ummi buat telur dadar asing.

Nasi goreng, telur dadar dan air teh untuk pagi ni. Alhamdulillah kenyang sudah kami 4 beranak. Lepas siap masak, masa untuk kemas rumah. Basuh baju dan sidai baju. Kerja rumah ni takkan habis. Kejap sapu sampah. Kejap lipat baju. Kejap basuh pinggan.

Dengan anak-anak yang sedang membesar memang kena banyak sabar. Banyak yang mereka nak terokai. Kita kemas kat sini, dia buat sepah dekat sana. Kemas di sana, dia buat sepah sini. Jadi seorang ibu ni memang kena banyak sabar.

Mainan anak-anak saja dah berbakul-bakul. Bila main kadang-kadang tak reti nak kemas balik. Kadang-kadang sampai kena ugut dulu baru nak kemaskan. Kalau tak kemas tak boleh keluar main. Macam tu lah hari-hari. Anak-anak ni tak boleh nak sekat sangat apa yang mereka nak buat. Biar mereka nikmati hidup ini.
Feni suka dedahkan anak-anak dengan persekitaran. Biar mereka faham dengan apa yang ada di sekililing. Kalau pergi pantai, Feni bawa penyodok pasir supaya mereka boleh main-main dengan pasir. Untuk perkembangan otak mereka. Melalui sentuhan, boleh meningkatkan daya imiginasi mereka. Jadi, lepas ni bila ada yang tanya macam mana rasa pasir, anak-anak Feni boleh bayangkan yang pasir itu halus dan kasar. Kesat dan berbiji-biji. 
Benda-benda macam ni memang perlu didedahkan awal untuk anak-anak supaya mereka lebih cerdik dan bijak. Feni seorang ibu yang mahukan anak-anak merasai setiap saat mereka membesar. Menikmati zaman kanak-kanak sebagai seorang kanak-kanak. Dalam masa yang sama mengajar mereka tentang kehidupan.

Anak-anak ni, walaupun umur mereka masih kecil tapi sangat memahami perasaan kita orang dewasa. Anak-anak boleh jadi sahabat yang baik untuk kita. Pendengar yang baik dan sangat memahami. Sebab tu kalau kita tak mampu kita harus berterus terang yang kita masih belum mampu untuk tunaikan apa yang mereka mahu. Walaupun ada kalanya mereka memberontak tapi bila kita cakap elok-elok inshaAllah semuanya akan berjalan dengan baik.

Kita yang membentuk anak kita jadi macam mana.

Saturday, February 10, 2018

Sehari Satu Cerita 2

Berpagian menjemput rezeki. Kadang-kadang kita tak sedar bangun pagi mendatangkan rezeki yang banyak untuk kita. Bayangkan kalau kita bangun lewat dalam pukul 11 atau 12 tengahari. Pergi kedai untuk beli kuih muih di kedai, kebanyakan gerai-gerai nasi lemak, kuih muih dan roti canai dah pun tutup. Kecuali kedai mamak sebab 24jam. Tu pun belum tentu kita dapat makan makanan yang segar. Dapat pun yang dipanaskan kembali yang lama.

Jadi bangun pagi sangat digalakkan oleh agama. Menjemput rezeki dengan bangun awal, solat subuh serta melalukan amalan-amalan sunat seperti solat sunat dhuha sangat digalakkan. Mengaji paling kurang 2 muka surat sehari. InshaAllah hari akan berlangsung dengan tenang.

Kita ni kadang-kadang lupa dengan nikmat yang Allah bagi sebab mengejar apa yang kita tiada. Memanglah kita disarankan untuk mencapai kejayaan tapi janganlah sampai mengabaikan tanggungjawab kepada keluarga pula. Anak-anak adalah sumber rezeki juga. Kita sebagai ibu bapa perlu ambil waktu untuk bersama anak-anak. Masa yang berkualiti dengan anak-anak membantu mereka dalam perkembangan minda serta sosial mereka.

Zaman sekarang ni memang mencabar. Dulu pun mencabar juga tapi sekarang lagi dasyat cabarannya. Dengan pengaruh rakan-rakan, media sosial dan sebagainya. Dahlah sekarang ni budak kecil dah pandai ada gadjet sendiri. Ini termasuklah anak Feni sendiri tapi dihadkan penggunaannya. Kena pantau selalu.

Benda macam ni ada kala kita boleh halang. Ada yang kita tak boleh halang. Kena minta bantuan orang sekeliling. Contohnya, masa Feni dan suami di tempat kerja, kena minta bantuan ibu mertua untuk pantau dia dalam menggunakan tablet. Tujuan utama beli tablet untuk anak adalah memudahkan dia belajar. Sekarang kan senang dengan adanya lagu-lagu untuk menyanyi sambil belajar.

Friday, February 9, 2018

Sehari Satu Cerita : 1

Pagi ni bermula macam biasa. Rutin pagi berjalan seperti sedia kala. Bangun pagi, gosok gigi, mandi dan bersiap untuk solat subuh. Usai solat subuh bergegas untuk siapkan pakaian Abang Aus. Ummi memang gosok baju pagi sekarang ni sebab malam balik rasa penat sangat.

Tau lah balik kerja dah lewat. Sampai rumah mertua pun dah hampir pukul 8 malam. Bila sampai rumah sendiri dah hampir pukul 10 malam. Kadang-kadang awal, kadang-kadang lewat. Biasa la kalau lambat tu anak-anak nak tengok cerita dulu.

Abang Aus pun kadang-kadang siapkan kerja sekolah di rumah opah dia dulu sebelum balik. Kalau tak kena dengan angin nak balik buat di rumah, makanya kami kena lah buat di rumah.

Beginilah rutin kami setiap pagi masa hari kerja dari Isnin hingga Jumaat. Hari Sabtu agak lega sikit sebab hanya abah seorang saja yang kerja. Jadi pagi Sabtu agak tenang dan lapang sebab tak perlu kalut-kalut untuk bersiap untuk ke sekolah dan tempat kerja.

Perjalanan untuk ke sekolah Abang Aus dari rumah tidak mengambil masa yang lama sebab hanya berada di hujung Taman saja. Masa untuk ke sekolah Abang Aus dalam 5 ke 10 minit saja. Jadi sebelum ummi dengan abah ke tempat kerja, hantar Abang Aus dulu. Kemudian singgah kedai beli roti atau kuih untuk Adik Rayyan. Lepas tu baru hantar adik ke rumah opah.

Alhamdulillah rezeki anak-anak ummi bila opah sendiri yang jaga mereka. Kalau tak kerana opah yang jaga, mana mungkin ummi kerja. Tak sanggup nak hantar dekat orang lain. Bukan apa ummi paling takut dengan kejadian dera yang selalu di laporkan dalam berita sekarang ni.

Apapun alhamdulillah untuk setiap rezeki yang Allah bagi.

Kadang-kadang kita sering merungut dengan apa yang kita tiada sampai kita lupa dengan apa yang kita ada.

Alhamdulillah Alhamdulillah Alhamdulillah

Friday, February 2, 2018

Bila Abang Aus Menginjak Umur 6 Tahun

28 haribulan Januari 2012, pukul 1.50 petang Abang Aus selamat dilahirkan ummi. Namun uri abang taknak keluar, puas doktor cuba nak keluarkan uri abang tapi tak keluar juga. Masa tu ummi dah lemah dan tak kisah dah apa pun yang doktor nak buat.

Setelah beberapa doktor dan nurse mencuba untuk keluarkan gagal. Ummi terpaksa dikejarkan ke Hospital Ipoh. Nak tunggu prosedur untuk hantar ke Ipoh pun tunggu masa. 2 jam atas ambulance ke Ipoh bukan sesuatu yang indah untuk dikenang.

Sampai di Ipoh, beberapa doktor pakar cuba untuk keluarkan uri dalam perut ummi. Ambil masa juga untuk keluarkan. Sakitnya hanya tuhan yang tahu. Sakit nak bersalin, sakit bersalin dan sakit nak korek uri. Beberapa jam kemudian tu baru uri ummi keluar. Doktor cuba yang terbaik. Dia cakap harap-harap uri tak pecah sebab kalau uri pecah ummi akan di operate. Bayangkan berapa kali ummi sakit.

Doa ummi tak putus-putus supaya dipermudahkan segalanya dan alhamdulillah lepas isya' baru selesai jahit semua. Masa jahit tu mentah-mentah dan sakitnya hanya tuhan yang tahu. Dekat pukul 10 baru ummi boleh jumpa dengan Abang Aus. Nak tolak ke wad pun ambil masa.

Alhamdulillah sekarang abang dah besar. Dah jadi abang untuk adik rayyan dah. cerdik dan bijak dah. Pandai sekolah dan mengaji. Syukur bila tengok anak membesar dengan sihat dan bijak.

Untuk kali ni, ummi dengan abah hadiahkan abang sebuah basikal sebab abang dah pandai mengaji dan membaca. Rajin pergi sekolah dan selalu tolong ummi. Abang anak yang baik dan tak banyak susahkan ummi. Selalu paham ummi kalau ummi susah.



Doa ummi selalu bersama abang. Semoga abang menjadi anak yang soleh untuk kami semua. Berjaya dunia dan akhirat.

Thursday, January 25, 2018

Lagu Paling Best Untuk Aku


Cuba hayati betul bait-bait lirik lagu ini. Sungguh mengharukan.
Aku. Dilahirkan sebagai anak yang punyai bapa namun tidak pernah mendapat kasih sayang seorang bapa. Sehingga hari ini aku hanya ada mak dan adik beradik. 
Entahhh. Bila ditanya tentang ayah. Aku tidak tahu.
Teringat tentang karangan "hari bapa' masa dalam tingkatan 4, aku seorang yang pandai mereka-reka cerita. Karangan aku dapat A.
Entah apa la yang aku tulis masa tu. Mungkin aku selalu berangan itu ini.
Hahaha. Hidup ini memang penuh dengan dugaan.
Aku ni walaupun hidup tanpa kasih sayang seoarang ayah atau bapa, alhamdulillah jadi jugak manusia.
Adik beradik aku memang susah dulu. Sekarang pun susah juga tapi alhamdulillah tidak menyusahkan orang.
Bila senang sikit boleh tolong orang lain sebab kami pun pernah hidup susah.
Bukan senang diatas kesusahan orang lain.
Alhamdulillah.
Pengalaman banyak mengajar kami untuk terus hidup.
Jatuh berkali-kali kami tahu macam mana cara nak bangkit. Cuma masa saja yang menentukan.

Biarlah orang tak kenal kita asalkan kita tidak menyusahkan orang lain. Dalam hidup ini. Kalau kita susah takde sape nak pandang. Memang itu hakikatnya.

Wednesday, January 24, 2018

Hidup Ini Adalah Perjuangan

Selagi kau bernama manusia, kau sentiasa akan diuji dan terus diuji. Tertekan dengan urusan dunia membuatkan kita selalu rasa sedih dan kecewa. Namun ketahuilah disebalik segala kesusahan ini mesti ada hikmah disebaliknya.

Aku manusia yang selalu mendambakan petunjuk dari Allah. Jatuh bangun aku hanya untuk Allah. Kadang-kadang aku juga keliru dengan keputusan sendiri. Apakah betul jalan yang aku ambil ni ? Tertanya-tanya sendiri dan berperang dengan emosi sendiri adalah lebih parah dari kita berbalas kata dengan orang lain.

Mencari kekuatan diri untuk bangkit kembali bukan senang. Allah sentiasa ada untuk kita. Dunia ini hanyalah sementara. Persinggahan saja. 24 jam berlalu tanpa kita membuat kebaikan ke jalan Allah. Bukankah ianya sia-sia ?

Merenung ke luar jendela. Melihat dan mencari kebenaran. Muhasabah diri. Adakahsudah cukup amalan aku untuk kesana ?

Menitis air mata bila terkenangkan dosa-dosa sebab aku bukan insan yang sempurna. Aku insan yang sangat lemah dan sangat kerdil di mata Allah. Aku hamba tapi aku selalu lupa dan leka. Leka dengan nikmat yang Allah berikan. Aku rindu dengan kemanisan iman. Aku rindukan saat-saat aku selalu mengingati Allah.

Andai dapat ku putarkan waktu. Apa yang aku nak buat ?

Aku nak buat apa yang Allah suka. Dan sekarang aku tengah berusaha untuk ke arah itu. Kesempatan yang ada ini, ingin aku nikmati sepuas-puasnya. Aku sayangkan semua ahli keluarga aku. Aku, kalau boleh nak sentiasa bersama namun hidup ini perlukan pengorbanan. Aku kena berkorban untuk kesenangan masa depan.

Jika difikirkan hidup kami sekarang adalah lebih baik dari dulu. Anak-anak aku lebih senang dan bahagia berbanding aku yang hidup dalam tekanan dan cercaan. Bila kau susah, ada saja yang datang untuk menjatuhkan. Bukan orang lain sebaliknya orang-orang yang terdekat dengan kita.

Yela mak aku masa tu janda, anak pulak ramai. Adik beradik mak aku pulaukan dia sebab harta. Tempat yang dia duduk sekarang pun bukan atas nama dia. Kira macam mak aku menumpang lah. (okey habis sini).

Sebab kami ni susah, aku selalu jadi bahan modal untuk dihina. Aku anak mak aku dengan suami nombor 2. Mak dengan ayah aku berpisah semasa aku dalam perut lagi. Sungguh aku lahir dan hanya kenal mak aku dan adik beradik je. Adik beradik aku walaupun tak sama ayah tapi sangat sayangkan aku sampai sekarang. Kami jarang bergaduh.

Ayah aku dah 2 tahun meninggal dunia. Aku jumpa dia pun boleh kira dengan jari. Kisah hidup aku memang sangat-sangat complicated. Namun aku taknak semakkan kepala aku untuk berfikir tentang ini. Asal aku tak menyusahkan orang sudah.

Ada kisah sedih masa aku nak kahwin. Aku cari ayah aku sebab abang2 aku tak boleh jadi wali sebab kami ayah lain. Alhamdulillah segala urusan kawen dipermudahkan Allah. Walaupun banyak dugaan yang nak kena hadap tapi alhamdulillah Allah permudahkan semuanya.

Kenduri majlis akad nikah kami buat ala kadar saja. Kenduri di rumah mak aku di Kelantan, kami buat sekali dengan anak buah aku. Anak Abang Chik aku. Jadi kira macam share la. Abang Chik aku yang banyak keluar modal. Alhamdulillah janji ada kenduri ye dok ?

Masa dok kalut-kalut nak buat kenduri tu ada makcik aku berbunyi "kenduri pun tumpang kenduri akikah anak buah''. Masa tu aku tak tahu kenapa aku baik sangat tak menjawab. Hahaha takpelah aku telan pahit. Dalam hati aku jawab "at least aku kawin tak mintak duit kau".

Aku cakap dengan adik beradik aku. Kakak aku naik angin. Dia kata 'tak dengar kat aku, kalau aku dengar nak je aku jawab'. Aku cakap takpelah bior ler. Pastu entah lah aku dah lupa.

Hari ini dah hampir 8 tahun kejadian, tapi perkara pahit yang orang buat kat kita masih kita ingat walaupun kita cuba lupakan. Makcik aku tu dah insaf pun. Aku pun dah maafkan dia. 

Bila orang tanya aku, takde sedara mara ke ? Aku jawab ada tapi tak rapat. Dalam hidup aku, aku hanya ada mak dan adik beradik je.

Sekarang aku dah berkeluarga dan mempunyai anak-anak. Alhamdulillah anak-anak aku disayangi oleh semua orang disekelilingnya. Carilah bahagia dengan cara sendiri. Kalau orang tak suka kita tak boleh nak paksa.

Lihat orang susah, kita tolong bukan lagi susahkan. Alhamdulillah terima kasih ya Allah untuk pengalaman dan pelajaran hidup ini.

Throwback gambar pelamin kat dewan. 

Wednesday, January 17, 2018

PENCUCI MUKA BARU UNTUK KULIT KERING

Sejak dua tiga minggu ni. Kulit kering menjadi-jadi. Mungkin disebabkan oleh keadaan cuaca dan juga penghawa dingin yang terlalu sejuk di pejabat. Nak kata tak minum air, memang bergelen-gelan minum air kosong dan juga air manis setiap hari.

Feni akan pastikan mesti minum air kosong/suam lebih dari 2 botol yang 350ml tu. Jadi minimum untuk air kosong setiap hari ialah 700ml. Alhamdulillah memang tak fail sejak kerja di CSSB ni.

Kurang air boleh menyebabkan kulit Feni jadi kering dan bersisik. Bukan sahaja di bahagian muka malah di seluruh badan. Tapak kaki pun jadi lebih kasar dan kesat. Mudah merekah dan tak cantik. Feni memang paling benci kalau kulit kering terutama di kaki.

Disebabkan kulit kering ni, muka Feni jadi kusam dan mudah naik jerawat. tau jela bila naik jerawat ni tangan mula gatal nak kutis-kutis jerawat. Bila dah kutis berdarah dan tinggal parut hitam yang susah nak hilang parutnya.

Feni scrol-scrol fb ternampak satu seller kosmetik yang muka dia breakout teruk sebab produk muka ni. Jadi dia suggest suruh cuba Rosken Dry Skin Wash. Alhamdulillah muka dia kembali pulih dan nampak lebih sihat.


Feni ni kan biasalah pantang orang promot barang baik. Yang penting organik. Mesti nak cuba. Cari-cari punya cari last-last jumpa dekat farmasi. Harga dia dalam RM35.00 ke atas. Terpulang pada farmasi. Feni tengok dekat online shop macam Lazada dan Shopee harganya lebih kurang tu jugak. Oleh kerana nak segera, Feni survery je farmasi yang dekat-dekat. Alhamdulillah jumpa dan terus grab.

Sebotol ni 400ml you olss. Jadi memang jimat sangat. Tak tahulah sampai berapa bulan Feni nak pakai ni. Hehehe sebab Feni hanya gunakan untuk muka. Ia sesuai untuk muka dan badan. Jadi untuk mereka yang ada masalah kulit seperti eczema atau kulit sensitif bolehlah cuba Dry Skin Wash ni.

Perubahan yang Feni rasa lepas cuba Rosken Dry Skin Wash ni, kulit jadi lebih lembut dan tak kering macam pencuci muka biasa tu. Ia lebih lembab dan kulit lebih segar. Bila kulit lembab, muka tak nampak berkedut. Kedut adalah salah tanda penuaan, jadi untuk mengelakkan kedutan dengan melembabkan kulit.


Muka Feni nampak lebih bersih dan segar serta bebas jerawat. Selain menggunakan produk skin care yang selamat. Feni juga akan mengamalkan pemakanan yang sihat untuk mendapatkan kulit yang sihat dan cantik. (PHOTO TANPA MEKAP)

Suplemen yang sangat sesuai untuk kulit ialah Vitamin C, ESP, dan juga Vitamin E. Jom cantik secara semula jadi. Amalkan gaya hidup yang sihat.

Di usia hampir 32 tahun ni, Feni masih jarang mengenakan mekap kecuali ada majlis-majlis tertentu. Kalau di pejabat pun lebih senang dengan muka macam ni. Bukan nak puji diri sendiri sebab Feni memang sangat-sangat malas nak mekap. Sebab leceh nak mencuci terutamanya bila nak solat.

Kalau tak betul cucinya, wuduk akan jadi tidak sah. Jadi Feni memang lebih suka macam ni. 


Assalamualaikum Januari

Bersawang penuh dengan segala debu. Perlu banyak masa untuk memulihkan kembali semak-semak ni.



Ya. Hidup ini perlukan banyak pengorbanan. Ada naik dan turunnya. Bila berada di atas, jangan lupa untuk tunduk ke bawah supaya sentiasa ingat bahawa hidup ini ibarat roda. Kadang-kadang kita di  atas dan kadang-kadang kita di bawah.

Setiap hari cari minimum 20 sebab kenapa aku perlu bersyukur hari ni ?

Jika aku listkan memang akan menjadi lebih. Jadi untuk apa lagi untuk aku tidak bersyukur. Perempuan memang dilahirkan serba kekurangan. Namun janganlah anggap kekurangan itu untuk tidak berusaha. Sekurang-kurangnya semasa hayat ada ini, kita telah berusaha sebaik mungkin.

Syurga itu bukan percuma. Nak dapat syurga perlu banyak pengorbanan.

Nak bangun tahajud tengah malam contohnya. Kena korbankan beberapa minit masa tidur untuk bangun solat tahajud. Masa tahajud adalah masa yang terbaik untuk berdoa.

Sebenarnya Allah dah bagi panduan untuk kita tapi kita yang selalu leka dan lupa. Bila gagal asyik salahkan takdir. Takdir juga yang dipersalahkan. Hihi.